Agong Sambut Baik Langkah Reformasi Politik

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan sokongan terhadap langkah reformasi yang dibawa Kerajaan MADANI dalam memperkukuh undang-undang pilihan raya, institusi demokrasi serta pendanaan politik negara.

Baginda bertitah pada Isnin bahawa usaha tersebut merangkumi cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, pemisahan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) serta penubuhan Institusi Ombudsman.

“Saya turut mengalu-alukan usaha bagi mengukuhkan undang-undang berkaitan pilihan raya, institusi demokrasi dan pendanaan politik.

“Ini termasuk usaha untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat dan institusi ombudsman,” titah baginda.

Titah Diraja itu disampaikan semasa Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Terdahulu, dalam perutusan Tahun Baharu 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh.

Usul tersebut dijadualkan dibawa ke Sidang Parlimen bermula 20 Januari hingga 3 Mac sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh sistem demokrasi negara.

Anwar berkata, had tempoh jawatan Perdana Menteri hanyalah sebahagian daripada rangka kerja reformasi institusi yang lebih menyeluruh dengan matlamat meningkatkan ketelusan, akauntabiliti serta keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.

Selain itu katanya, beberapa RUU lain turut akan dibentangkan pada tahun ini termasuk pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penubuhan Ombudsman serta pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat (FOI).

Anda Mungkin Berminat