Agong Santuni Rakyat Di Taman Botani Perdana

KUALA LUMPUR: Taman Botani Perdana, pagi ini, menyaksikan momen penuh mesra dan harmoni apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyantuni rakyat jelata dalam suasana santai yang mencerminkan keprihatinan dan kemurahan hati Seri Paduka terhadap rakyat pelbagai lapisan.

Seri Paduka Baginda berangkat tiba seawal pukul 7 pagi, meluangkan masa berinteraksi serta beramah-mesra dengan pengunjung yang hadir termasuk mereka yang sedang bersenam dan menikmati udara segar pagi hujung minggu.

“KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyantuni rakyat jelata dalam suasana santai di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur pada hari ini (13 Julai).

“Seri Paduka Baginda yang berangkat tiba pada jam 7 pagi turut berkenan meluangkan masa berinteraksi serta beramah-mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat yang sedang bersenam dan menikmati suasana pagi hujung minggu.”

“Orang ramai juga tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan bersama Seri Paduka Baginda yang turut berjalan kaki sekitar Taman Botani Perdana,” menurut satu hantaran di media sosial baginda.

Kehadiran Seri Paduka Baginda bukan sahaja menceriakan suasana taman, malah mencipta detik istimewa bagi rakyat yang berpeluang merasai keakraban bersama ketua negara.

Ramai pengunjung turut berkongsi rasa bangga dan terharu atas kemesraan yang ditunjukkan oleh Baginda.

Anda Mungkin Berminat