Agong Selamat Berangkat Pulang Selepas Lawatan Khas Ke UAE

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selamat berangkat pulang ke tanah air pada Rabu selepas menamatkan lawatan khas selama dua hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Seri Paduka Baginda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 9.20 pagi dan keberangkatan itu disambut Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman.

Turut hadir ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani serta Pengelola Bijaya Diraja Johor, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa.

Lawatan khas Sultan Ibrahim ke UAE diadakan atas jemputan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Sepanjang lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda mengadakan perbincangan bersama Sheikh Mohamed bagi meneroka peluang kerjasama dua hala antara Malaysia dan UAE.

Antara bidang utama yang dibincangkan termasuk kerjasama pertahanan, pelaburan strategik serta keterjaminan makanan demi kepentingan bersama kedua-dua negara.

“Perbincangan ini membuka ruang memperkukuh hubungan sedia ada dan memperluas kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat serta negara,” menurut kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat