PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selamat tiba di Malaysia hari ini selepas menjalani rawatan di luar negara.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, pesawat khas Seri Paduka Baginda tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 7 pagi tadi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini serta pegawai-pegawai Istana Negara.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang menitipkan doa buat kesihatan Seri Paduka Baginda.
Pada 7 Februari lalu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Mengiringi bersama Seri Paduka Baginda, Tunku Panglima Johor,Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, Istana Negara memaklumkan baginda selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang).
Menurut kenyataan itu, kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.