Agong Selamat Tiba Di Tanah Air, Tamat Lawatan Negara Ke Arab Saudi Dan Bahrain

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat kembali ke tanah air pagi tadi selepas menamatkan lawatan negara selama enam hari ke Arab Saudi dan Bahrain yang bermula pada 3 November lalu.

Pesawat peribadi Seri Paduka Baginda mendarat di Hangar Di Raja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada pukul 8.30 pagi, menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut penuh hormat oleh Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, bersama barisan kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman; Yang Dipertua Majlis Di Raja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli serta ahli Jumaah Majlis DiRaja Johor dan barisan Exco.

Sultan Ibrahim turut berkenan melintasi Kawalan Kehormatan Statik (KKS) yang disempurnakan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN) sebagai simbol penghormatan ketenteraan kepada Seri Paduka Baginda.

Lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain itu bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara Teluk, malah membuka ruang perbincangan strategik yang bermakna antara pemimpin tertinggi.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan sambutan yang diberikan sepanjang keberangkatan Baginda.

“Saya amat menghargai perbualan mesra bersama Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud (Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi) yang penuh bermakna dan menegaskan hasrat untuk terus mengukuhkan kejayaan yang telah dicapai bersama selama ini.

“Pengetahuan, semangat dan visi Putera Mohammed dalam mentransformasikan Arab Saudi di bawah Visi 2030 cukup menginspirasikan saya,” titah Seri Paduka Baginda menerusi laman rasmi Facebook.

Anda Mungkin Berminat