PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar ASEAN dan rakan-rakannya kekal teguh dalam semangat perpaduan dan saling menghormati demi membina masa depan yang inklusif serta berdaya tahan.
Baginda bertitah, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China berlangsung dalam keadaan dunia yang penuh dengan cabaran serta kompleksiti global.
“Malaysia amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada sidang-sidang kemuncak yang penting ini, mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan keamanan, kemakmuran dan perkongsian di rantau ini dan seterusnya.
“Semoga masa anda di sini dapat memperkukuh lagi ikatan persahabatan dan kerjasama yang menyatukan kita semua,” titah Seri Paduka Baginda menerusi Facebook rasmi pada Selasa.
Titah Diraja itu disampaikan ketika Majlis Santapan Diraja di Istana Negara yang dihoskan oleh Seri Paduka Baginda sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan dua sidang berkaitan GCC.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin tertinggi ASEAN, negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan Timor-Leste.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung selama dua hari di Kuala Lumpur, bermula semalam, bersama-sama sidang ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dianjurkan buat kali pertama.