ST PETERSBURG: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pulang selepas mengakhiri lawatan khas selama tiga hari ke St Petersburg, Persekutuan Rusia, yang bermula pada 25 Januari lalu.
Lawatan julung kali Seri Paduka Baginda ke kota bersejarah itu berlangsung atas jemputan khas Presiden Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir V. Putin, sekali gus mencerminkan hubungan diplomatik yang semakin erat antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulkovo pada pukul 4.16 petang waktu tempatan.
Sepanjang lawatan, Seri Paduka Baginda turut berkenan melawat LenReserve Museum, sebuah muzium unik yang menampilkan suasana sebenar kehidupan ketika Perang Dunia Kedua khususnya semasa Pengepungan Leningrad.
Lawatan tersebut berlangsung pada 27 Januari, dengan pengiringan oleh Evgeny Dmitrievich Grigoriev, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri St Petersburg serta TYT Datuk Cheong Loon Lai, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia.
Muzium berkenaan mempamerkan koleksi kenderaan tentera, senjata, pakaian dan barangan harian yang digunakan rakyat ketika pengepungan yang berlangsung hampir 900 hari dari tahun 1941 hingga 1944.
Berbeza dengan konsep muzium tradisional, LenReserve menggunakan sistem pencahayaan dramatik dan kesan bunyi bagi mewujudkan pengalaman imersif kepada pengunjung, seolah-olah berada dalam suasana sebenar era peperangan.
Antara tarikan utama ialah paparan jalan bandar yang dibina semula, hospital medan, bengkel pembaikan kenderaan tentera serta kediaman rakyat yang menggambarkan kesukaran hidup ketika bekalan makanan amat terhad.







