PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan menerima mengadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Istana Negara.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohamad, bersama Timbalan Ketua Pengarah JBPM (Pembangunan), Datuk Othman Abdullah.
Dalam sesi itu, Seri Paduka Baginda dipersembahkan taklimat mengenai laporan serta perkembangan semasa JBPM termasuk tahap kesiapsiagaan dan keupayaan jabatan berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan awam serta mengendalikan operasi kecemasan di seluruh negara.
“Seri Paduka Baginda berkenan dipersembahkan taklimat mengenai kesiapsiagaan dan keupayaan JBPM dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan awam serta mengendalikan operasi kecemasan di seluruh negara,” menurut hantaran di Facebook Baginda.
Selain itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima taklimat mengenai Karnival Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2026, yang dijadualkan berlangsung di Johor Bahru pada Mei ini.








