PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, di Istana Negara pada Selasa.
Sesi menghadap tersebut diadakan bagi membolehkan Wan Suraya mempersembahkan perkembangan terkini berhubung laporan dan analisis prestasi kewangan negara kepada Seri Paduka Baginda.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang diterbitkan semalam menunjukkan prestasi kewangan kerajaan persekutuan bertambah baik pada 2024, dengan defisit menurun kepada RM12.224 bilion, bersamaan 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 5 peratus pada 2023.
Analisis itu turut melaporkan kutipan hasil kerajaan meningkat kepada RM324.618 bilion, meningkat sebanyak RM9.659 bilion atau 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala pinjaman menurun sebanyak RM39.261 bilion atau 16.3 peratus.
Bagaimanapun, laporan tersebut turut menekankan keperluan kerajaan memberi perhatian terhadap peningkatan Liabiliti Persekutuan berjumlah RM86.047 bilion, termasuk kenaikan hutang sebanyak RM75.105 bilion.
Jabatan Audit Negara turut mengesyorkan agar mekanisme kutipan hasil dimantapkan, selain memperkukuh pengurusan kewangan syarikat kerajaan supaya terus berdaya maju serta memberikan pulangan sewajarnya kepada kerajaan.
Baca juga:








