Agong Terima Menghadap PM Anwar, Dipersembah Isu Semasa

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Khamis berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda dipersembahkan taklimat mengenai pelbagai isu semasa.

“Antara yang dibentangkan termasuk pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta persiapan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung di ibu negara pada Oktober depan.” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin lalu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter melalui penyasaran subsidi di bawah inisiatif BUDI95.

Kementerian Kewangan memaklumkan sistem BUDI95 akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September, disusuli penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September, sebelum diperluas kepada 16 juta rakyat Malaysia pada 30 September.

Sementara itu, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan diadakan di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 memilih tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ dengan penglibatan pemimpin 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog antarabangsa.

Acara berprofil tinggi itu bakal menjadi tumpuan dunia dengan Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk agenda serantau dan global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat