Agong Terima Menghadap PM, Hargai Pengorbanan Pasukan Keselamatan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, dalam suasana menjelang sambutan Aidilfitri.

Pertemuan itu berlangsung penuh mesra dengan Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang terus komited menjalankan tanggungjawab demi rakyat.

Menurut hantaran rasmi Istana, Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi pengorbanan anggota keselamatan yang tetap bertugas demi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat, walaupun ketika masyarakat lain menyambut lebaran bersama keluarga.

“Pengorbanan mereka amat dihargai dalam memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Baginda turut mendoakan agar semua anggota keselamatan sentiasa dilindungi dan dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang melaksanakan tugas.

Dalam perkembangan sama, Seri Paduka Baginda menasihatkan rakyat agar sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya khususnya semasa pulang ke kampung halaman.

“Semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga keselamatan diri serta tidak tergesa-gesa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” menurut kenyataan itu lagi.

Anda Mungkin Berminat