MERSING: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menitahkan Kementerian Pertahanan agar membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.
Seri Paduka Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan, kementerian berkenaan perlu mengambil iktibar daripada kesilapan lampau dalam urusan perolehan aset pertahanan.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara ‘second-hand’.
“Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri,” titah Baginda.
Dalam nada tegas, Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap kewujudan ejen serta pihak berkepentingan yang cuba mempengaruhi keputusan pembelian aset pertahanan negara.
“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘agent’ atau bekas Jeneral yang menjadi ‘salesman’ malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘drone’.
“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah maka peruntukan yang ada tidak akan cukup.
“Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah Seri Paduka.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, hari ini.