KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihatkan barisan Jemaah Menteri agar sentiasa menjalankan amanah dengan penuh integriti serta mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan.
Dalam titahnya, Seri Paduka Baginda menekankan bahawa keutamaan kerajaan perlu memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat, kestabilan negara dan kemakmuran ekonomi, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.
“Kepentingan kerjasama berpasukan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan cekap dan berkesan.
“Menteri dan Timbalan Menteri perlu sentiasa turun padang mendengar suara rakyat serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi,” titah Baginda dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara.
Majlis penuh adat itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, sekali gus menandakan permulaan rasmi bagi barisan kepimpinan baharu kabinet untuk menggalas amanah negara.







