KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap kes buli dan dera yang berulang di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mendorong ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa dukacita.
Dalam satu kenyataan di Facebook, baginda turut memberi amaran tegas agar pihak universiti mengambil tindakan drastik untuk membanteras budaya tidak sihat tersebut.

“Semua pihak mesti berusaha menghentikan budaya buli dan dera ini. Kejadian berulang-ulang yang membawa kepada kecederaan, malah kematian, adalah amat tidak wajar.
“Ia merosakkan imej UPNM yang sepatutnya menjadi institusi terunggul dalam pertahanan dan ketenteraan,” titah Baginda pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Sultan Ibrahim menegaskan latihan fizikal dan mental yang keras adalah perlu dalam membentuk pegawai tentera yang berwibawa. Namun, penderaan sehingga mencederakan atau membahayakan nyawa tidak boleh diterima sama sekali.

“Ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi pegawai tentera, bukan untuk didera,” titah Baginda.
Lebih menyedihkan, baginda bertitah, budaya penderaan ini seperti tidak ditangani secara serius, meskipun kes terdahulu telah dibawa ke mahkamah.
Baginda turut mengingatkan bahawa falsafah utama UPNM ialah membentuk budaya disiplin ketenteraan yang murni, bukan kekerasan yang melampau.
“Jika penderaan terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi.
“Panglima dan Komandan UPNM juga mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini dan wajar meletak jawatan,” tegas Sultan Ibrahim.
Baca juga: