PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihatkan umat Islam di seluruh negara agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang kini semakin berleluasa khususnya melalui platform media sosial.
Baginda bertitah bahawa penularan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera serta bersepadu daripada semua pihak bagi mengekang pengaruhnya.
Terdahulu, Seri Paduka berkenan menerima mengadap Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Nasri Ali di Istana Negara pada Khamis.
Dalam sesi tersebut, Yahya mempersembahkan perkembangan usaha JAINJ membanteras ajaran sesat di Johor termasuk pemantauan rapi terhadap cubaan penyebaran fahaman menyimpang oleh individu dari dalam dan luar negara.
JAINJ turut melaksanakan pelbagai langkah pencegahan bagi memastikan masyarakat tidak terdedah kepada gerakan yang boleh merosakkan akidah umat Islam.
Sultan Ibrahim menzahirkan pesanan agar umat Islam terus memperkukuh ilmu dan kefahaman agama sebagai benteng utama daripada terjerumus dalam ajaran menyeleweng.
“Memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenar adalah benteng utama daripada sebarang pengaruh ajaran sesat,” titah Baginda.
Beberapa negeri sebelum ini turut melaporkan peningkatan kes ajaran sesat yang berasaskan penyelewengan akidah dan dakwaan batal syariah, yang disebarkan secara aktif melalui media sosial.








