KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan selamat dan doa penuh keikhlasan agar Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dikurniakan kesembuhan sempurna ketika bakal menjalani rawatan lutut bermula 18 Januari ini.
Baginda bertitah bahawa doa tersebut bukan sahaja daripada dirinya tetapi turut dizahirkan oleh seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesejahteraan Sultan Brunei.
“Patik serta rakyat mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku selamat menjalani rawatan ini dan dikurniakan Allah SWT kesembuhan yang sempurna serta dipermudahkan semua urusan berkaitan,” titah Baginda.
Ucapan penuh makna itu dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda pada Rabu, sekali gus mencerminkan hubungan erat dan persahabatan kukuh antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
Keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kesejahteraan rakan sejawatnya turut menyerlahkan nilai persaudaraan yang mendalam antara kedua-dua negara jiran.
Sultan Haji Hassanal Bolkiah dijadualkan menjalani rawatan lutut pada 18 Januari dengan doa dan harapan agar proses tersebut berjalan lancar serta membawa kesembuhan yang sempurna.








