KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyampaikan ucapan ulang tahun yang penuh kasih dan penghargaan sempena hari keputeraan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Dalam satu hantaran yang menyentuh hati, Baginda menzahirkan rasa cinta dan doa tulus buat Raja Permaisuri Agong, mendoakan agar Baginda sentiasa berada dalam lindungan Ilahi serta dikurniakan kesihatan yang baik dan kebahagiaan yang berpanjangan.
“Selamat Hari Lahir kepada isteri saya yang tercinta, Raja Zarith Sofiah.
“Semoga sentiasa berada di bawah lindungan Ilahi, dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan yang tidak berpenghujung, serta kekuatan untuk terus memberi inspirasi dan menyentuh kehidupan insan lain dengan kebaikan hati Baginda,” titah Baginda.
Ucapan tersebut bukan sahaja mencerminkan keakraban dan kasih sayang antara pasangan diraja, malah turut menyerlahkan keperibadian Raja Zarith Sofiah yang sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada rakyat jelata melalui kelembutan dan kebaikan hati Baginda.
Rakyat Malaysia turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat ulang tahun kepada Raja Permaisuri Agong di media sosial, dengan pelbagai mesej penuh kasih dan doa dikongsikan sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang kepada institusi diraja.








