KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, agar seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Seri Paduka Baginda bertitah, rasuah adalah musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara, justeru sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.
Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Baginda turut mengingatkan bahawa kepemimpinan berintegriti mesti bermula dari peringkat tertinggi.
PTD, tegas Baginda, hendaklah menjadi teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus dan bertanggungjawab.
Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati serta diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan yang profesional dan bebas daripada amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan, sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Azhan di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Jeneral Datuk Azhan secara rasmi dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu, selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda pada 1 Disember 2025.







