‘Ahai’ bawa Siti Nordiana busking di Bukit Bintang

Oleh Nadhirah Akmam

SUASANA di Bukit Bintang malam tadi makin meriah apabila penyanyi popular, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, menghiburkan orang ramai menerusi persembahan busking istimewa sempena pelancaran single terbaharunya berjudul ‘Ahai’.

Katanya, lokasi tersebut dipilih kerana mahu mendekati peminat dengan suasana lebih santai dan mesra, berbeza dengan pelancaran lagu yang biasanya berlangsung secara formal.

“Kali ini saya nak rasa lebih dekat dengan peminat. Kita buat santai, sambil cari rakan duet antara buskers yang sering nyanyikan lagu-lagu saya di sini,” katanya ketika ditemui media.

Persembahan itu turut dimeriahkan dengan 30 penari yang menjayakan ‘flashmob’, sekali gus mencuri perhatian pengunjung di sekitar kawasan tumpuan pelancong itu.

Lagu ‘Ahai’ merupakan ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, yang menampilkan irama Malaysia berentak kontemporari bagi mengembalikan semula nostalgia lagu tradisional Melayu.

“Saya dah lama rindu nak buat lagu Irama Malaysia. Hampir dua tahun saya fikir sebelum putuskan untuk rakam lagu ini. Jiwa saya memang dekat dengan muzik tradisional,” ujarnya.

Mengulas mengenai cabaran membawa semula genre tersebut, Nana optimis lagu Irama Malaysia masih relevan dan mampu diterima pendengar masa kini.

“Saya percaya peminat sekarang dah matang. Mereka boleh terima pelbagai genre asalkan sedap dan ada jiwa. Kalau stesen radio beri ruang, saya yakin irama tradisional boleh kembali bersinar,” katanya lagi.

Single ‘Ahai’ diterbitkan dengan kerjasama 7-Eleven, dan menjadi percubaan awal sebelum penyanyi itu merancang untuk menghasilkan album penuh berkonsepkan Irama Malaysia dalam masa terdekat.

Siti Nordiana, sebelum ini dikenali menerusi lagu-lagu popular seperti Memori Berkasih dan Terus Mencintai. Selepas hampir dua dekad dalam industri, beliau kini kembali memperjuangkan muzik berteraskan warisan Melayu dengan pendekatan moden agar terus segar di kalangan generasi muda.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat