Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Seorang ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) akan didakwa pagi ini atas tuduhan mendera kanak-kanak ketika di bawah jagaan salah sebuah rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat itu.
Berdasarkan satu jemputan media yang dikeluarkan malam tadi, pertuduhan terhadap ahli terbabit akan dibuat di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.
Berdasarkan makluman berkenaan, pendakwaan akan dilakukan di mahkamah tersebut pada jam 8.45 pagi mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 16 September lalu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera.
Polis mengesan kanak-kanak lelaki terbabit dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan dan mangsa dipercayai dipisahkan dengan bapanya sejak 2021.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit sembilan saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai didera tular di media sosial.
Dalam rakaman video itu, kanak-kanak lelaki terbabit dilihat menahan kesakitan ketika disoal beberapa kali oleh seorang lelaki dewasa.