Ahli Parlimen Belanda Dilarang Pakai Baju ‘Bendera Palestin’, Kembali Dengan Simbol Tembikai

THE HAGUE: Parlimen Belanda digegarkan dengan tindakan simbolik penuh makna oleh Esther Ouwehand, ketua Parti untuk Haiwan (PvdD) yang menolak untuk berdiam diri dalam isu Palestin.

Dalam sesi perbahasan bajet yang berlangsung di Dewan Perwakilan, Ouwehand hadir dengan memakai blaus berwarna menyerupai bendera Palestin iaitu satu tindakan yangnmencetuskan reaksi daripada Speaker Dewan, Martin Bosma.

Bosma, yang berasal dari parti sayap kanan PVV, mengarahkan Ouwehand keluar dari dewan atas alasan pakaian tersebut melanggar prinsip ‘neutraliti’ yang diamalkan di Parlimen.

Walaupun tiada kod pakaian rasmi yang ditetapkan, Speaker mempunyai kuasa untuk menegakkan etika berpakaian yang dianggap sesuai bagi suasana legislatif.

Namun, Ouwehand tidak tunduk kepada arahan tersebut.

Beliau keluar dari dewan sebagai tanda protes, dan kembali tidak lama kemudian dengan blaus lain dan kali ini bercorak biji tembikai.

Corak tersebut bukan sekadar pilihan fesyen tetapi membawa makna yang mendalam.

Tembikai telah lama menjadi simbol solidariti dengan rakyat Palestin khususnya apabila bendera Palestin diharamkan di sesetengah tempat.

Ia menggantikan warna bendera iaitu merah, hijau, putih dan hitam dalam bentuk yang kreatif dan penuh makna.

Kali ini, Speaker membenarkan beliau meneruskan ucapan tanpa gangguan.

Dalam satu video yang dimuat naik ke Instagram, Ouwehand menyatakan pendiriannya dengan tegas.

“Ketika Kabinet enggan mengakui pembunuhan beramai-ramai dan enggan mengambil tindakan, menjadi tanggungjawab kita untuk terus menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin. Bebaskan Palestin,” katanya.

Insiden itu turut menyaksikan ahli parlimen lain menyatakan pendirian masing-masing.

Pemimpin parti Denk, Stefan van Baarle, memakai pin bendera Palestin sebagai tanda sokongan, manakala ahli parti BBB mengenakan reben kuning sebagai solidariti terhadap tawanan Israel di Gaza.

Anda Mungkin Berminat