Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan digesa segera mengharamkan penjualan dan pengedaran vape bagi melindungi kesihatan rakyat terutamanya generasi muda.
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj menyifatkan keadaan semasa sebagai ancaman kesihatan awam yang serius.
“Penggunaan rokok elektronik atau vape menimbulkan ancaman serius terhadap kesihatan rakyat Malaysia khususnya generasi muda yang semakin ketagih,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau memetik data peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja yang melonjak daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.
“Peningkatan ini bukan sahaja menunjukkan ketagihan nikotin tetapi membawa implikasi kesihatan yang berbahaya.
“Saya menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan pengedaran vape di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, nikotin dalam cecair vape menyebabkan sangat ketagih dan boleh menjejaskan perkembangan otak serta meningkatkan risiko keresahan, kemurungan dan ketagihan bahan terlarang lain.
Beliau turut mendedahkan kes-kes serius akibat vape termasuk sawan, kesukaran bernafas dan kematian.
Tambah Yunes, statistik KKM menunjukkan 17 kes kecederaan paru-paru berkaitan vape (EVALI) dilaporkan sehingga pertengahan Jun 2023 termasuk kematian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun akibat kegagalan jantung akut.
“Kos rawatan penyakit berkaitan vape dijangka meningkat kepada RM369 juta setahun menjelang 2030.
“Ini membuktikan beban kesihatan jauh melebihi manfaat cukai vape yang diunjurkan sebanyak RM500 juta setahun,” katanya.
Kerajaan negeri seperti Johor, Kedah dan Terengganu telah melarang penjualan vape tetapi Yuneswaran berkata, larangan perlu dilaksanakan di seluruh negara.
Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan mengecualikan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952 yang menyebabkan penjualan vape nikotin tanpa kawalan.
“Langkah berani ini amat penting bagi membendung wabak vape yang kian menular, mengancam kesihatan generasi muda kita dan membebankan sistem penjagaan kesihatan awam,” tegasnya.