Ahli Parlimen Miri Gesa Isu Keselamatan Wakil Rakyat Dibahas Segera

PETALING JAYA: Susulan insiden serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, tampil menggesa agar isu keselamatan wakil rakyat dan keluarga mereka dibahaskan segera di Dewan Rakyat.

Menurut Chiew, usul berkenaan telah dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1), bagi membolehkan perkara itu dibincangkan secara rasmi dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

“Serangan ini bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), malah membangkitkan kebimbangan rakyat mengenai tahap keselamatan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan segera amat diperlukan bagi mengelakkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan awam daripada terus terjejas.

“Tanpa langkah proaktif, rasa takut dan kurang keyakinan boleh merebak, sekali gus menjejaskan tugas wakil rakyat serta aktiviti harian masyarakat,” katanya lagi.

Insiden yang berlaku semalam menyaksikan anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun diserang secara tiba-tiba dengan jarum suntikan oleh dua lelaki bermotosikal di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Mangsa telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan masih berjalan.

Usul yang dikemukakan oleh Chiew kini menunggu pertimbangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sama ada akan dibenarkan untuk dibahaskan dalam persidangan kali ini.

Anda Mungkin Berminat