Ahli Parlimen PKR Persoal Gabungan Longgar Pembangkang, ‘Sekadar Percubaan Terdesak?’

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani, Taufiq Johari mempersoalkan tujuan sebenar penubuhan gabungan longgar oleh parti-parti pembangkang yang didakwa lebih cenderung mencari kesalahan kerajaan berbanding memperjuangkan isu rakyat.

Menurut satu kenyataan, Taufiq berkata, penelitian terhadap komposisi gabungan itu menunjukkan ia hanya melibatkan PAS, BERSATU dan beberapa parti kecil yang mempunyai sedikit atau tiada langsung wakil rakyat.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar sebuah kerjasama yang mewakili rakyat atau sekadar percubaan terdesak oleh parti-parti terpinggir,” katanya.

Gabungan tersebut diumumkan oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas mempengerusikan mesyuarat bersama parti-parti terbabit malam tadi.

Antara parti yang disenaraikan termasuk Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Berjasa, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Taufiq turut mempersoalkan keberkesanan penyertaan parti-parti kecil dalam gabungan itu, terutamanya yang pernah kehilangan wang deposit dalam pilihan raya.

“Saya juga tidak fikir dengan penglibatan parti-parti kecil ini akan menjadikan PAS lebih mudah diterima oleh rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa pihaknya menunggu untuk melihat bagaimana gabungan tersebut akan menjelaskan bentuk kerjasama kepada penyokong masing-masing.

“Pasti menarik untuk melihat apakah persamaan yang ada pada mereka selain daripada keinginan untuk berbalah dengan pentadbiran Madani,” kata Taufiq.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan bahawa tujuan gabungan itu adalah untuk menghimpunkan pimpinan pelbagai parti dalam dan luar Perikatan Nasional bagi membincangkan isu utama negara serta mencari penyelesaian demi kepentingan rakyat.

Anda Mungkin Berminat