Ahli politik, suami terbabit sindiket jual orang telah dirakam keterangan – KPN

Oleh: Hanim Nadia

KOTA BHARU: Seorang ahli politik dan suaminya yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar telah dirakam keterangan oleh pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pasangan suami isteri terbabit diambil keterangan pada Julai lalu, selepas artikel pertama berhubung kes berkenaan dilaporkan di Myanmar.

“Kita sudah menjalankan siasatan dan buat masa ini siasatan juga masih diteruskan. Kita juga akan mendapatkan artikel yang dikeluarkan oleh negara berkenaan.

“Kita juga akan mencari saksi yang terbabit dan pasangan suami isteri itu juga sudah diambil keterangan pada Julai lalu,” katanya dalam sidang akhbar pada Khamis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Khamis.

Baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ yang diterbitkan di Indonesia.

Menerusi video tersebut, terdapat ramai dalam kalangan rakyat Indonesia yang menjadi mangsa sindiket ini.

Hishamuddin menunjukkan laporan yang bakal diserahkan kepada SPRM berkaitan penglibatan ahli politik Malaysia bersama suami dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Susulan itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) pada Rabu meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang ahli politik di negara ini yang didakwa terbabit sindiket tersebut.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim difahamkan ahli politik itu terbabit dalam sindiket berkenaan sejak Mac 2020 dan tular di media sosial baru-baru ini.

Jelasnya, modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer’ penipuan judi secara dalam talian.

Anda Mungkin Berminat