PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, didesak membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja susulan kenyataannya yang disifatkan tidak sensitif serta mencemarkan imej negara di mata dunia.
Desakan itu dibuat Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, selepas Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengeluarkan kenyataan yang mempertikai usaha Malaysia sebagai perantara dalam menyelesaikan konflik antara dua negara jiran berkenaan.
“Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal yang tidak ada secebis rasa hormat pada negara lain, apatah lagi negara jiran.
“Kenyataan seperti ini tidak wajar dan memalukan negara,” katanya menerusi hantaran di platform X, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli memuat naik gambaran sindiran di media sosial, memaparkan ilustrasi kambing dan biri-biri berebut pisang dengan seekor monyet dijadikan simbol orang tengah, diiringi kapsyen yang menyindir peranan Malaysia dalam konflik Thailand-Kemboja.
Fadhli turut menyertakan artikel berkaitan konflik dua negara itu di sebelah gambar berkenaan, sekali gus mengundang kecaman hebat warganet yang menganggap tindakan itu sebagai tidak wajar.
Mengulas lanjut, Kamil menegaskan bahawa peranan Malaysia sebagai perantara bukan bersifat kepartian atau agenda individu, sebaliknya atas kapasitinya sebagai negara berwibawa di peringkat serantau.
“Tatkala dunia mengiktiraf peranan Malaysia, khususnya Perdana Menteri sebagai peneraju dan arkitek keamanan serantau apabila Thailand dan Kemboja akhirnya bersetuju menggerakkan gencatan senjata, masih ada segelintir pihak yang memperlekeh usaha murni ini.
“Ironinya, yang memperlekeh bukan orang luar, tetapi pembangkang dalam negara sendiri. Mereka lebih rela melihat kegagalan daripada mengiktiraf kejayaan yang membanggakan negara,” katanya lagi.
Tambahnya, ketika negara lain seperti Amerika Syarikat, China dan komuniti ASEAN menyambut baik peranan Malaysia, pembangkang pula terus bersikap sinis dan pesimis.
“Mereka lupa semasa mereka berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik sebesar ini pernah dicapai,” katanya.
Baca juga: