Ahmad Faezal Dipilih Peserta Pertama Malaysia Sertai Sumud Flotilla

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan penulis geopolitik serta sejarah ekonomi, Ahmad Faezal, menzahirkan rasa syukur apabila dipilih sebagai peserta pertama dari Malaysia dalam Sumud Flotilla yang dijadual berlayar menuju Gaza pada 29 Mac 2026.

Menurut beliau, penyertaan dalam flotilla bukan sekadar penghantaran bantuan makanan.

“Sumud bukan sekadar bantuan makanan. Ia tentang membawa suara rakyat Palestin ke seluruh dunia,” katanya menerusi video di TikTok pada Isnin.

Beliau berkata, ramai pihak salah faham mengenai misi flotilla yang bukan hanya tertumpu kepada penghantaran bekalan melalui pintu Rafah kerana proses itu memakan masa panjang dan bukan fokus utama pelayaran.

“Kisah seorang ibu kehilangan anak akibat serangan Israel menggunakan senjata thermobarik buat saya tak boleh diam sahaja,” ujarnya, menyentuh penderitaan rakyat Palestin yang menjadi dorongan peribadi untuk menyertai misi itu.

Ahmad Faezal turut menekankan isu lain termasuk risiko rampasan masjid bersejarah serta perluasan penjajahan Israel di Tebing Barat.

“Setiap bangsa berhak hidup dengan maruah. Saya telah lama berdoa untuk peluang ini dan sekarang ia menjadi kenyataan,” tambahnya.

Bagi beliau, misi itu juga adalah peluang untuk membawa mesej solidariti Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Ini bukan sekadar simbolik. Ia cara untuk menyokong mereka yang terpinggir dan memberi inspirasi kepada generasi muda,” katanya.

Peserta flotilla akan berkumpul di pelabuhan Laut Mediterranean sebelum berlayar bersama menuju Gaza dengan misi memecahkan kepungan sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan.

Ahmad Faezal menzahirkan harapan agar perjalanan misi itu dipermudah dan selamat.

“Saya harap ALLAH SWT permudah perjalanan ini, jauhkan saya dari bahaya dan sampaikan saya ke Gaza dengan selamat,” luahnya penuh pengharapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri, dalam hantaran terbarunya berkata, pemilihan peserta untuk Sumud Flotilla sangat sukar kerana peluang yang terhad.

“Kami meyakini setiap misi perlu ada sekurang-kurangnya seorang peserta yang boleh dianggap ‘Key Opinion Leader’ dan sentiasa bercakap tentang Palestin,” katanya.

Dalam temu ramah sebelum pemilihan, Ahmad Faezal berada di Dimashq, Syria, di hadapan makam Salahuddin Al-Ayyubi dengan Menara Putih sebagai latar, menunjukkan komitmennya terhadap misi kemanusiaan itu.

Nadir Al-Nuri memperkenalkan beliau sebagai calon pertama yang akan berlayar bersama Sumud Nusantara.

Untuk info, Flotilla bantuan Global Sumud dijadual berlepas semula ke Gaza dari Barcelona pada 29 Mac dengan penyertaan antarabangsa yang lebih luas.

Anda Mungkin Berminat