Ahmad Farhan Wakili PM Hulur Sumbangan Deepavali Kepada Warga Emas

KUANTAN: Menjelang sambutan Deepavali, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, mengunjungi seorang warga emas, Chellamah Kathirveloo, dalam satu kunjungan di Semambu, Pahang.

Lawatan tersebut bukan sekadar ziarah tetapi turut disertai dengan penyampaian sumbangan bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda kasih dan penghargaan kerajaan kepada golongan warga emas yang menjadi tulang belakang masyarakat.

“Meski usianya sudah lanjut, senyuman Chellamah tetap manis dan penuh ketenangan.

“Beliau (Chellamah) mengingatkan kita bahawa kasih sayang dan nilai kemanusiaan tidak mengenal batas bangsa atau agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Ahmad Farhan, kisah kehidupan harian Chellamah mencerminkan semangat perpaduan dan kepedulian sosial yang menjadi teras kepada gagasan Malaysia MADANI.

Katanya, Deepavali bukan sekadar perayaan cahaya tetapi juga lambang harapan yang menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

“Saya mendoakan semoga cahaya Deepavali membawa sinar kebahagiaan dan kesejahteraan kepada Chellamah serta seluruh masyarakat India yang meraikannya,” ujarnya.

Ahmad Farhan turut menyatakan harapan agar sambutan Deepavali tahun ini menjadi titik permulaan kepada sinar baharu buat masyarakat India apabila disambut dengan penuh kasih sayang, semangat perpaduan dan rasa saling menghargai antara kaum.

Anda Mungkin Berminat