KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu, berkuat kuasa 23 Mei lalu.
Pelantikan beliau diumumkan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hari ini.
Turut mengesahkan berita berkenaan ialah rakannya yang juga pendakwah, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff, yang memuat naik ucapan tahniah kepada Ustaz Ahmad Fauwaz di akaun media sosial beliau.
Ustaz Ahmad Fauwaz sebelum ini pernah dilantik mengetuai jawatankuasa khas bagi merangka modul pemulihan akidah kanak-kanak yang diselamatkan daripada kumpulan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISBH).
Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), selain aktif dalam aktiviti dakwah dan pembangunan syariah di peringkat nasional.
Ustaz Ahmad Fauwaz ialah anak kepada bekas Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, yang dikenali sebagai tokoh politik dan agama yang disegani.
Pelantikan ini dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha memperkukuh institusi fatwa dan peranan mufti dalam membimbing umat Islam Wilayah Persekutuan secara lebih menyeluruh.








