Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak alpa sehingga mengabaikan agenda utama dalam memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menerusi hantaran di Facbook berkata, kelekaan merebut ‘ghanimah’ atau ‘hadiah harta rampasan perang’ perlu dihindari dalam memastikan parti itu berada di landasan yang betul, khususnya sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei depan.
“Pesan saya jangan bertelagah, banyakkan bermuhasabah dan berunding dengan penuh hikmah.
“Hargai nikmat berkerajaan yang Allah SWT berikan dan jangan leka berebut ‘ghanimah’ sehingga kita lupa agenda utama adalah memastikan kestabilan, supaya negara makin sejahtera dan rakyat beroleh kemakmuran yang melimpah ruah,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, komitmen pimpinan dan ahli akar umbi perlu diperkukuh bagi memastikan perpaduan dan memperkasa kesatuan dalaman parti.
“Memandangkan kita bakal menghadapi PRK Kuala Kubu Bharu berikutan pemergian mendiang Lee Kee Hiong, fokus dan tekad kita kini adalah untuk terus memastikan kemenangan siapa jua calon Kerajaan Perpaduan yang akan diumumkan nanti.
“Ini bagi memastikan aspirasi Malaysia Madani dapat terus diperhebatkan dan kerjasama yang terbina ini terus berkekalan. Adat berkawan biarlah ada keikhlasan. Adat bekerjasama biarlah ada kesungguhan,” katanya.
Beliau turut menyempurnakan Persidangan cawangan UMNO yang bermula pada Isnin, katanya adalah perlu dijadikan wadah untuk menyuntik nilai kebersamaan dan menjunjung prinsip kesetiaan terhadap perjuangan parti.
Ahmad Zahid turut mengingatkan ahli parti supaya mengambil ruang dan peluang melalui persidangan itu untuk berbincang mengenai sebarang isu dengan penuh rasional serta berhikmah.
“Semoga ALLAH SWT memberkati dan mempermudahkan segala urusan dalam melunaskan perjuangan demi memenuhi tuntutan agama, bangsa dan tanah air yang kita sama cintai ini.

“Kepada semua perwakilan cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri. Selamat bersidang! Inilah masanya untuk memperkukuh perpaduan, memperkasa kesatuan,” katanya.
Jelas beliau, cawangan yang aktif adalah nadi yang akan meneruskan denyutan perjuangan UMNO di bahagian dan di peringkat kebangsaan maka persidangan kali ini adalah platform menggarap strategi dan rancangan agar UMNO bersama kita perkuatkan.
“Santunilah ahli dan dekatilah para pengundi agar mereka yakin bahawa agenda UMNO hanyalah untuk memastikan kestabilan politik negara dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” ujarnya.
Baca juga: