Ahmadinejad Terbunuh Dalam Serangan Udara AS-Israel Di Tehran

TEHRAN: Dunia dikejutkan dengan laporan kematian bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, yang terbunuh dalam siri serangan udara dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas ibu negara Iran.

Serangan itu menyasarkan kawasan Narmak, timur laut Tehran termasuk kediaman Ahmadinejad sendiri.

Menurut laporan media tempatan dan antarabangsa, Ahmadinejad maut bersama beberapa pengawal peribadinya.

Tiga daripada mereka disahkan terbunuh pada hari pertama serangan besar-besaran yang dilancarkan ke atas Republik Islam itu.

Ahmadinejad, yang memimpin Iran dari tahun 2005 hingga 2013, dikenali sebagai tokoh berhaluan keras dengan retorik lantang terhadap Israel dan Barat.

Beliau memainkan peranan penting dalam mempercepatkan program nuklear Iran, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Di peringkat antarabangsa, Ahmadinejad sering menjadi wajah kontroversi Iran, sama ada melalui ucapan keras di pentas PBB atau kenyataan yang mencabar status quo geopolitik Timur Tengah.

Kematian Ahmadinejad dijangka memberi kesan besar terhadap politik dalaman Iran.

Walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan rasmi, Ahmadinejad masih dianggap simbol penting bagi golongan konservatif dan nasionalis.

Anda Mungkin Berminat