KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa dalam era kemajuan teknologi, seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan peralihan tenaga, adalah penting untuk tidak mengabaikan nilai budaya, akhlak, dan akidah yang menjadi asas keharmonian masyarakat.
Dalam sesi ‘Temu Anwar’ yang diadakan di Management and Science University (MSU), Anwar bertemu dengan lebih 500 belia dan mahasiswa untuk membincangkan pelbagai isu semasa, termasuk kepentingan teknologi canggih dalam pembangunan negara.
“Walaupun kita meneroka teknologi canggih seperti AI dan digital, kita tidak boleh mengetepikan nilai-nilai yang membentuk keharmonian masyarakat kita. Nilai budaya dan akidah adalah teras yang memastikan masyarakat kita kekal harmoni,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) sedang merangka program lanjutan bagi memperkasa Program Felo Perdana. Program ini bertujuan memberikan lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk menimba pengalaman daripada barisan kepimpinan negara, membentuk pemimpin masa depan yang berkualiti.
Anwar turut membincangkan isu ketidaktentuan tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan mengulangi komitmen kerajaan dalam melindungi ekonomi negara melalui tindakan pantas dan cekap.
Beliau menyeru sektor awam untuk mengutamakan penggunaan sumber tempatan bagi memastikan daya tahan industri domestik terus kukuh.
“Bersama-sama kita melangkah ke hadapan dengan semangat patriotisme, menjunjung nilai-nilai murni dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang bukan sahaja maju dari segi teknologi, tetapi juga teguh dari segi jati diri, perpaduan dan kemanusiaan,” katanya.
Baca juga: