Aidiladha Lambang Pengorbanan, Keikhlasan – Izzah

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyeru umat Islam untuk menghayati makna sebenar pengorbanan dan keikhlasan sempena sambutan Aidiladha 1446H.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, perayaan ini bukan sekadar tradisi tetapi satu manifestasi keimanan dan kesabaran yang mendalam.

“Di saat berjuta umat Islam berkumpul di Tanah Suci ini, setiap ibadah yang dilakukan, dari tawaf di Baitullah hingga lontaran jamrah di Mina menjadi lambang keimanan, kesabaran dan harapan yang disandarkan sepenuhnya kepada Allah SWT,” ujarnya.

Mengambil inspirasi daripada kisah Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S., Nurul Izzah mengingatkan bahawa cinta kepada Allah SWT harus mengatasi segala-galanya.

Katanya, redha, sabar, dan keyakinan adalah kunci ketenangan hati, meskipun dalam saat paling mencabar.

“Semoga segala ibadah serta qurban kita, diterima oleh Allah SWT sebagai tanda ketaatan dan kecintaan kepada-Nya,” tambahnya.

Beliau turut berharap agar Aidiladha menjadi titik permulaan bagi umat Islam untuk memperbaharui niat, menguatkan tekad dan menyuburkan kasih sayang sesama insan.

“Kullu ‘am wa antum bi khair,” ucapnya, mendoakan kesejahteraan semua.

Anda Mungkin Berminat