PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar menghayati semangat pengorbanan dan pendekatan dakwah Nabi Ibrahim a.s dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Katanya, kisah Nabi Ibrahim bukan sekadar menggambarkan ketaatan seorang bapa dan anak dalam menjunjung perintah Allah SWT, tetapi turut memperlihatkan nilai legasi kenabian yang membawa pendekatan dakwah berlandaskan hikmah dan budaya dialog yang sihat.
“Nabi Ibrahim tidak sekadar berpidato secara monolog tetapi mengajak masyarakat berdialog dan berhujah dengan hujah yang meyakinkan.
“Ini merupakan strategi dakwah yang mendorong umat menggunakan akal sihat, menghargai kebenaran dan membina jati diri yang cerdas serta berdisiplin,” katanya dalam satu kenyataan sempena Aidiladha.
Anwar turut menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin khususnya di Gaza yang masih berdepan penderitaan, selain menyeru umat Islam agar tidak melupakan perjuangan mereka.
“Sewaktu kita mengangkat takbir Aidiladha, kita juga harus terus berikhtiar membantu saudara-saudara kita yang berkorban mempertahankan kota dan wilayah mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mendoakan kesejahteraan rakyat Malaysia yang sedang menunaikan ibadah haji agar dikurniakan kekuatan dan perlindungan Ilahi dalam menghadapi cabaran semasa.