PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan daging, ayam, dan sayur-sayuran mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna menjelang sambutan Aidilfitri.
Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan bahawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memastikan setiap lokasi yang terlibat dalam pengedaran barangan keperluan mempunyai bekalan yang mencukupi.
“Pengguna tidak perlu khuatir kerana persediaan awal telah dilakukan bagi menampung permintaan yang meningkat menjelang perayaan.
“Kita yakin pengguna tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barangan keperluan kerana agensi di bawah kementerian telah membuat persediaan awal bagi menambah bekalan,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
KPKM turut menegaskan bahawa langkah-langkah pemantauan akan terus dijalankan bagi memastikan bekalan tidak terputus dan harga barangan berada dalam keadaan terkawal sepanjang musim perayaan.
Dalam pada itu, KPKM melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah melancarkan Program Semarak Syawal yang berlangsung di 262 lokasi seluruh negara bermula 22 Mac sehingga esok.
“Jualan khas turut diadakan di 42 lokasi terpilih di seluruh negeri dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi Bakul MADANI Raya dan potongan harga sehingga 20 peratus bagi ayam proses,” katanya.
Program Semarak Syawal bertujuan membantu masyarakat mendapatkan bekalan keperluan harian berkualiti dan berpatutan menjelang Aidilfitri.
Ia juga membuka peluang kepada petani dan usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan menerusi jualan khas produk pertanian dan asas tani segar pada harga lebih kompetitif.