Ainina Ahmad B tarik diri terima zakat, “Anak saya dah tiada, tak mahu ambil hak orang lain”

Oleh: Tyah Helmi

PELAKON Ainina Ahmad B tampil menjelaskan bahawa beliau sendiri yang meminta namanya dikeluarkan daripada penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejurus pemergian anak istimewanya, Nur Elisya bulan lalu.

Dia memaklumkan perkara itu dalam satu perbualan dengan pegawai LZS untuk menghentikannya sementelah masih ramai individu lebih layak mendapat bantuan tersebut.

“Kenapa saya nak kena ambil wang itu sedangkan ramai lagi yang memerlukannya. Tambahan pula itu duit zakat, kalau saya ambil dulu memang untuk anak saya.

“Insya-Allah kalau ada tawaran saya boleh berlakon lagi dan berniaga. Bila anak sudah meninggal dunia, saya rasa cukuplah. Kita pun boleh bekerja.

“Masih ramai yang memerlukan wang tersebut, saya rasa bersalah sangat kalau makan duit zakat,” katanya.

Ainina turut merakamkan ucapan terima kasih kepada LZS kerana sudi memberikan bantuan dan membiayai kos rawatan pembedahan tulang belakang anaknya, Elisya pada Disember tahun lalu.

“Saya cuma minta untuk anak saya sahaja, katanya anak OKU boleh mohon zakat.

“Pembedahan tulang belakang arwah anak saya mencecah RM40,000 dan pihak zakat menanggung sebanyak 70 peratus dan selebihnya saya tambah,” jelasnya.

“Tapi kalau untuk perbelanjaan makan saya tidak guna wang bantuan itu. Jadi bila anak dah tiada saya tarik diri. Bantuan ini buat saya rasa bersalah kalau terus ambil.” ujarnya.

Pada Disember tahun lalu, Elisya melakukan pembedahan tulang belakang dan selepas melalui prosedur tersebut kesihatannya dilaporkan semakin teruk.

Elisya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) selama tiga bulan untuk pakar memantau keadaannya sebelum dibenarkan pulang.

Pada 22 Jun lalu, Elisya dilaporkan telah meninggal dunia sekitar pukul 2 petang. Untuk makluman, Elisya merupakan anak hasil perkahwinan Ainina dengan penyanyi Rahmat Mega.

Mereka turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan iaitu Nur Ariena.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat