Air sungai Kelantan meningkat, 8,247 orang berlindung di PPS

KOTA BHARU: Susulan amaran hujan berterusan (buruk), status air sungai diramal menaik dan melebihi paras bahaya di beberapa daerah Kelantan petang Selasa hingga Rabu malam.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran berkata “Amaran Banjir” dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Tumpat kepada penduduk setempat.

PRABN dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan status paras air sungai yang diramal meningkat dan melebihi aras bahaya, banjir berkemungkinan berlaku di tiga lokasi dalam jajahan berkenaan.

“Antara kawasan berisiko ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Kelantan meliputi Padang Rokma, Beach Temalang dan Chenderong Batu.

“Turut dijangka terjejas ialah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok di Kampung Kok Kebit dan Taman Sri Bayu,” menurut kenyataan PRABN.

Seterusnya, banjir dijangka berlaku di beberapa kampung rendah sekitar Sungai Golok termasuk Kampung Pak Keral, Kampung Kok Bedullah, Kampung Nechang, Kampung Pauh Sebanjar, Kampung Neting, Kampung Tujuh, Kubang Sawa, Kajang Sebidang, Telok Jering, Naga Ibu, Pisau Raut, Bendang Pak Yong dan Simpangan.

Sehubungan itu, PRABN dalam kenyataan itu menasihatkan semua penduduk di kawasan terbabit supaya berwaspada, mengikuti arahan agensi pengurusan bencana dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi media sosial pihak berkenaan.

Setakat 8.22 pagi ini, sebanyak 10,458 mangsa ditempatkan di 66 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri. Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 8,247 orang dengan Tumpat (4,358) diikuti Kota Bharu (2,271), Bachok (1,493) dan Pasir Puteh seramai 125 orang.

Perak antara negeri yang baru sahaja membuka PPS dengan 946 orang di empat daerah disusuli Kedah (342), Perlis (308), Terengganu (282), Pulau Pinang (242), Selangor (47) dan Sarawak seramai 44 orang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat