Oleh: Tyah Helmi
FESTIVAL muzik dan gaya hidup tahunan paling dinanti, Hausboom Festival, bakal kembali dengan edisi yang lebih besar dan berani pada 11 dan 12 Oktober ini di MAEPS, Serdang.
Dikenali sebagai AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink, acara kali ini tampil dengan tema baharu ‘Paint the Town Red’ yang melambangkan tenaga, keberanian dan semangat, simbolik kepada gabungan mantap antara Hausboom, AirAsia dan Hotlink.
Menurut kenyataan, kolaborasi epik bersama AirAsia menjadikan festival ini lebih daripada sekadar pesta muzik.
Tahun ini, AirAsia tampil sebagai rakan kolaborasi utama, membawa pengalaman menyeluruh yang menggabungkan hiburan, gaya hidup dan pelbagai kejutan eksklusif sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, barisan artis yang bakal menghangatkan pentas menjadi antara tarikan utama festival ini.
Antara nama besar yang dijangka membuat persembahan termasuk Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Ella, Noh Salleh & Restoe Iboe Band, Bunkface, Samsons, Dolla, K-Clique, Spider, Slam, Def Gab C, 6ixth Sense, Insomniacks, Kunto Aji, Bernadya, Feby Putri, Nadhif Basalamah, Ghea Indrawari, Salammusik, Gerhana Skacinta, Lucidrari, No Good, LOKO, Benzooloo, Johny Comes Lately, Margasatwa, Empty Page, Slatan, FUGO, TT.13, Spooky Wet Dreams, The Rudean dan DJ Fuzz.

Tiket untuk festival ini kini mula dijual dengan harga serendah RM119 bagi kemasukan am (AM), RM299 untuk zon Rock dan RM1,200 bagi pakej VVIP.
“Untuk pek VVIP, pengunjung bakal menikmati pelbagai keistimewaan eksklusif termasuk ‘premium view deck’, makanan dan minuman tanpa had secara percuma, tandas peribadi serta laluan ekspres ke kawasan acara,” tambahnya.
Sebagai nilai tambah kepada pengunjung dan peminat Hausboom, satu kempen khas telah dilancarkan bersama AirAsia dikenali sebagai ‘Kempen AirAsia x Hausboom: Scan & Win’.
Melalui kempen ini, Hausboom memperkenalkan label edisi terhad dengan kod QR unik pada kesemua sembilan perisa minuman mereka yang boleh didapati di rangkaian kedai seperti 7-Eleven, Kedai Mesra Petronas, Shell Select, AEON BiG dan outlet terkemuka lain di seluruh negara.
“Setiap imbasan memberi peluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik, termasuk 10 tiket penerbangan percuma tanpa had selama setahun, tiket penerbangan pergi-balik ke 18 destinasi, baucar AirAsia MOVE, AirAsia RIDE & Ikhlas.com, hadiah tunai sehingga RM50,000 dan tiket percuma ke AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink,” kata kenyataan itu.
Kempen ini telah bermula sejak Mei lalu dan akan berlangsung sehingga Disember 2025 dengan ribuan pemenang telah diumumkan setakat ini.
Selain itu, Hausboom dan Hotlink turut melancarkan empat tin edisi terhad yang boleh didapati di kedai-kedai seluruh negara.
Dengan mengimbas kod QR pada tin-tin ini, pengguna boleh menyertai program ganjaran ‘Menang Ahad’ yang menjanjikan hadiah setiap hari Ahad.
“Jumlah hadiah termasuk 1000 tiket percuma ke festival tersebut, telefon pintar, tambah nilai prabayar, internet percuma dan baucar makanan & minuman,” katanya.
Sepanjang festival, booth Hotlink akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan, cabutan hadiah dan kejutan menarik untuk pengguna bijak berbajet.
Tidak ketinggalan, Hausboom turut bergabung tenaga dengan Perodua bagi memberikan pengalaman festival yang lebih luar biasa.
Setiap pemegang tiket berpeluang memenangi sebuah Perodua Ativa serba baharu melalui cabutan bertuah eksklusif yang akan diumumkan secara langsung di pentas utama sepanjang festival.
Festival ini bukan sekadar tentang muzik. Hausboom turut membawakan pengalaman pesta makanan yang menghimpunkan lebih 100 vendor makanan unik daripada juadah popular hingga sajian istimewa yang sukar ditemui.
Buat julung kali, Hausboom bekerjasama dengan Pin Yang, pemilik saluran makanan terkenal KL Foodie untuk membawakan Hausboom KL Foodie Fest.
“Masuk adalah percuma, festival dibuka dari 10 pagi hingga 12 malam, dan boleh dimasuki oleh semua peringkat umur tanpa sekatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi.
Menambah warna kepada festival, lebih 80 jenama ‘streetwear’ dan gaya hidup akan turut serta termasuk SVG, Makerz, Kyrex, The Capcity serta koleksi barangan terpakai eksklusif hasil kerjasama dengan rakan rasmi Lokal Fest, SOVO.
Dengan gabungan muzik, makanan, gaya hidup dan ganjaran lumayan, AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink dijangka menjadi antara acara paling epik tahun ini.