Aishah Bidin Wakili Negara Sertai Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia OIC

PUTRAJAYA: Malaysia terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa apabila dipilih sebagai ahli Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi penggal 2025–2028.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, pemilihan itu dimuktamadkan pada 21 Jun 2025 sempena Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri ke-51 di Istanbul, Turkiye.

Katanya, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengetuai usaha diplomasi Malaysia bagi mendapatkan sokongan negara anggota.

“Calon negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Aishah Bidin, tokoh berpengalaman luas dalam bidang hak asasi manusia akan memulakan tugasnya mulai Ogos 2025.

“Aishah Bidin mempunyai pengalaman dan pendedahan yang meluas dalam bidang hak asasi manusia dan kemanusiaan terutama sekali semasa berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM),” menurut kenyataan itu.

Beliau juga pernah mewakili Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).

Selain sering dilantik sebagai pakar rujuk dalam forum anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan organisasi antarabangsa lain.

Keanggotaan Malaysia dalam IPHRC, di mana sebuah suruhanjaya yang terdiri daripada 18 pakar bebas yang dijangka memperkukuh lagi sumbangan negara dalam memperjuangkan hak asasi serta pembangunan sosioekonomi negara anggota OIC demi kesejahteraan ummah sejagat.

Anda Mungkin Berminat