Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam empangan hidro Sultan Idris, Tapah, Perak pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Mohd Naim Asnawi, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tapah telah digerakkan ke lokasi untuk mengawal situasi di tempat kejadian dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, kejadian berlaku semasa mangsa bersama seorang rakannya yang sedang memancing di empangan tersebut.
“Semasa mangsa hendak turun untuk mencuci tangan, dia telah tergelincir lalu terjatuh ke dalam empangan tersebut.
“Semasa operasi menyelamat sedang dijalankan, mayat mangsa telah dijumpai di dasar empangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat serta punca kematian disebabkan oleh lemas (drowning).
Berikutan kejadian tersebut, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menjalankan aktiviti memancing dan riadah supaya lebih berhati-hati dan menjaga keselamatan diri.
Baca juga: