KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam menghayati ajaran Rasulullah SAW sebagai panduan membina negara bangsa berasaskan nilai Islam.
Menurut beliau, kepimpinan Nabi Muhammad SAW di Madinah membuktikan asas kemasyarakatan yang berpaksikan martabat insan, keadilan, kedaulatan hukum, ilmu, akhlak dan nilai kemanusiaan berlandaskan agama.
“Masyarakat madani yang dibentuk oleh Baginda adalah khayra ummah, iaitu umat unggul berasaskan iman, kebaikan serta memberi manfaat kepada kemanusiaan sejagat,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul pada Jumaat.
Anwar berkata warisan Rasulullah SAW perlu dijadikan panduan untuk umat Islam bekerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan.
“Rasulullah SAW bukan sekadar peribadi unggul, Baginda juga simbol perpaduan dan pemimpin yang mengangkat nilai Madinat al-Nabi,” katanya.
Menurutnya, al-Madinat al-Munawwarah pula mengisyaratkan tamadun berteraskan wahyu dan tauhid, yang menjadi asas kepada pembangunan kota serta tamadun yang memberi dampak besar kepada dunia.
“Berakar kepada sunnah kenabian dan berpohon kepada rahmah Allah SWT, ayuh kita hadapi ranjau dalam kembara membina bangsa dan negara dengan contoh serta hikmah ar-Rasul,” katanya.
Baca juga: