Akaun bank bekas suami culas bayar nafkah berdepan tindakan sekatan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani komited membantu golongan ibu tunggal dan anak-anak yang dinafikan hak nafkah apabila kini tindakan sekatan akaun bank terhadap bekas suami atau bapa yang culas membayar nafkah telah mula dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pelaksanaan tersebut menjadi kenyataan selepas pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 [Akta 758], Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759], dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 [Akta 618] diwartakan baru-baru ini.

“Usaha keras telah dilaksanakan bagi membolehkan tindakan sekatan akaun bank diambil terhadap bekas suami atau bapa yang culas memberi nafkah, satu cadangan yang dimulakan semasa saya menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM),” katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Kata Dr Na’im, pindaan berkenaan mengiktiraf dan membolehkan perintah hiwalah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah dilaksanakan oleh institusi perbankan berlesen ke atas simpanan penghutang penghakiman, sekali gus membolehkan wang dalam akaun mereka dipindahkan kepada pihak isteri atau anak yang berhak.

“Perintah hiwalah ini memberikan sinar baharu kepada isteri atau bekas isteri serta anak-anak yang teraniaya akibat kegagalan pemberian nafkah,” ujarnya.

Difahamkan, setakat September 2025, terdapat 152 kes hiwalah telah didaftarkan di Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM, dengan 26 kes berjaya diselesaikan melalui pembekuan akaun bank milik penghutang penghakiman, melibatkan nilai keseluruhan RM79,820 yang telah dipindahkan kepada pihak pemiutang.

“​Tindakan tegas lain, termasuk memenjarakan pihak yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah, juga telah diambil oleh BSK JKSM,” tegasnya.

Di samping itu katanya, pelaksanaan kempen promosi kesedaran sentiasa dipergiatkan di seluruh negara agar masyarakat mengambil cakna terhadap perintah Mahkamah Syariah.

“​Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa kerajaan bersikap lepas tangan adalah tidak benar.

“Sebaliknya, kerajaan menyeru semua pihak agar menyampaikan mesej yang tepat dan membantu memberikan maklumat berkaitan dasar dan langkah yang telah dilaksanakan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat