PETALING JAYA: Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (RPO) mengesan satu akaun video palsu di Facebook yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru wajah dan suara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Menurut RPO, video berkenaan tular di Facebook dan memaparkan suara mirip baginda yang dikaitkan dengan tawaran pelaburan kononnya mampu menjana keuntungan kepada orang ramai.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan akaun palsu seperti ini yang sering digunakan oleh sindiket penipuan di media sosial,” kata kenyataan tersebut.
RPO turut mengingatkan bahawa penyamaran serta penyalahgunaan identiti individu, termasuk membabitkan institusi diraja, merupakan satu kesalahan mengikut undang-undang negara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegas RPO.
Sebelum ini, tular satu hantaran di Facebook yang memaparkan wajah dan suara mirip Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Baca juga:








