Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud, seorang akauntan wanita berusia 32 tahun mengalami kerugian lebih RM46,534.
Mangsa tertarik dengan iklan pelaburan saham di Instagram sebelum mengimbas pautan yang diberikan dan berhubung dengan sindiket melalui WhatsApp.
Dia kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan bernama “PJT Academy” dan diberikan tunjuk ajar mengenai cara bermain saham serta membuat pelaburan.
Mangsa diminta menghubungi seorang individu yang menyamar sebagai wakil khidmat pelanggan sebelum diarahkan memuat turun aplikasi ‘Boom-S’ dan mengisi maklumat perbankan.
“Terpedaya dengan janji keuntungan besar, mangsa melakukan 14 transaksi dalam talian antara 13 Januari hingga 4 Mac 2025 ke lima akaun berbeza”
“Apabila cuba mengeluarkan keuntungan, suspek meminta bayaran tambahan RM620,000, menyebabkan mangsa sedar dirinya telah ditipu” menurut kenyataan polis pada Selasa.
Hasil semakan polis mendapati akaun bank yang digunakan dalam transaksi ini mempunyai rekod penipuan lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM100,000.
Polis menasihatkan orang ramai menyemak kesahihan pelaburan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan mengelakkan pendedahan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali.
Mangsa penipuan disaran segera menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC) di talian 997 bagi menyekat pengaliran keluar wang.
Baca juga: