PETALING JAYA: Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengecam kelewatan dalam projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling, Kedah, selepas melakukan tiga kali lawatan ke lokasi tersebut.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, projek tersebut masih tiada sebarang kemajuan sejak terhenti pada Julai tahun lalu.
“Jauh dari sudut hati, saya harap keadaan jadi lebih baik selepas setahun saya teliti projek ini. Hampa.
“Apa keadaan terbaru yang sebenarnya berlaku? Ini yang sedang saya semak sekali lagi awal tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, kelewatan itu turut mengganggu garis masa dan mungkin menyebabkan kos tambahan.
Ujarnya, kelewatan itu akan menjejaskan akses penduduk kepada bekalan air bersih yang sangat diperlukan di kawasan tersebut.
Jelas beliau, projek LRA Sungai Limau yang bermula pada tahun 2021 melibatkan 15 komponen yang perlu dibina di kawasan loji tersebut.
Namun, hingga kini, kesemua komponen tersebut belum siap dan beberapa bahagian belum dimulakan kerja-kerjanya.








