Akmal ditahan di Kota Kinabalu untuk beri keterangan isu boikot KK Mart

Ketua Pemuda UMNO dan EXCO Melaka, Muhammad Akmal Saleh ditahan usai tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah untuk membantu siasatan susulan dua laporan diterima terhadapnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menahan Akmal selepas menerima dua laporan yang melaporkan ucapan dan tindakan Akmal mengenai isu stoking tertera kalimah yang dijual di kedai sebaneka KK Mart.

“Akmal ditahan untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Keterangannya akan dirakam dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Peguam Negara selepas proses melengkapkan siasatan dilakukan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Akmal sendiri melalui hantaran di Facebook miliknya menyatakan dirinya ditahan di IPD Kota Kinabalu walaupun sudah dijadualkan untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi pada Sabtu.

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan mohon doakan semuanya dipermudahkan,” katanya yang turut menegaskan pendiriannya mengenai isu tersebut.

Terdahulu, media melaporkan Akmal yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengeluarkan kenyataan untuk terus memboikot kedai serbaneka berkenaan akibat isu stoking itu.

“Saya tidak akan hentikan boikot, sebaliknya tegas dengan pendirian dan prinsip ini kerana kami memboikot secara aman, sebagai bukti ketegasan dan serius terhadap pihak yang cuba mempersenda agama Islam,” katanya sebelum ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat