‘Akmal Saleh jangan lempar batu sembunyi tangan’- AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh untuk mengambil tanggungjawab atas ketegangan masyarakat yang semakin berlarutan dipercayai mula disemarakkan menerusi gesaan beliau untuk memboikot perniagaan KK Mart.

Ketua Penerangan AMK, Nabil Halimi berkata ketegangan masyarakat mula disemarakkan menerusi gesaan Akmal agar orang Islam memboikot KK Mart, susulan penemuan stoking kalimah Allah di tiga cawangannya.

“Akmal, jangan lempar batu sembunyi tangan. Sudah kami tegaskan sebelum ini bahawa seorang pemimpin politik harus meredakan suhu api ketegangan kaum masyarakat kita yang majmuk, bukan sebaliknya.

“Namun, Akmal seolah-olah masih berdegil dan sehingga kini dia masih berdalih dan tidak mengakui kesan disebabkan keghairahan dan keterlanjurannya dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Setakat ini, terdapat dua insiden kedai KK Mart dibaling bom petrol di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang.

Akmal bagaimanapun mengecam dua insiden itu namun kekal dengan pendirian agar kedai serbaneka itu diboikot.

Sementara itu Nabil menegaskan Islam harus ditegakkan dengan hikmah dan bukannya dengan kemarahan yang berlebihan. 

“Janganlah kerana sikap melampau kamu, negara ini binasa. Pemimpin muda harus radikal menjadi penyatu idealisme bangsa Malaysia dan bukannya menjadi pemecah fabrik sosial negara ini yang sudah dibina dengan asas yang kukuh oleh bapa-bapa negara bangsa Malaysia,” tegasnya.

AMK turut menggesa masyarakat agar kekal bertenang dan memberi ruang serta kepercayaan yang sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan tugas mereka untuk menyelesaikan kes tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat