PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai langkah memperkukuh ekonomi negara dan mengurangkan beban rakyat.
Beliau mempersoalkan keberkesanan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menurutnya lebih membebankan pengguna berbanding GST yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Dulu GST 6 peratus membebankan rakyat. Sekarang rakyat perlu bayar SST (lima atau 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan) ditambah dengan pengurangan jenis barangan bercukai dari 8,084 barang kepada 1,813 barang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Akmal berkata, GST adalah sistem percukaian yang lebih telus dan cekap dalam kutipan hasil negara serta menggesa kerajaan agar berani mengakui kelebihannya.
“Cadangan kami kepada kerajaan, laksanakanlah semula GST yang jauh lebih baik dan berkesan.
“Jangan malu jangan segan untuk menyatakan polisi perlaksanaan GST dulu jauh lebih baik dan tidak membebankan rakyat,” katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai alasan penghapusan GST dalam manifesto terdahulu dengan menyatakan bahawa keputusan dasar harus berlandaskan kepentingan rakyat.
“Nanti guna sahaja alasan manifesto hapus GST bukan kitab suci.
“Yang penting rakyat tidak terbeban dan cukai dapat dikutip dengan baik,” tambahnya.
Gesaan yang dilontarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mencetuskan semula perdebatan mengenai dasar percukaian negara khususnya di kalangan pembuat dasar dan rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kerajaan bakal melaksanakan semakan semula kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.