SEBERANG PERAI: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kegusaran awam menerusi hantaran media sosial, 11 Ogos lalu.
Pengakuan itu dibuat di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhamad Akmal.
Beliau menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.
Terdahulu, Akmal, yang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah pulang ke tanah air lebih awal bagi berdepan pertuduhan itu.
Pada 14 Ogos lalu, Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, BERSATU dan PAS dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik di Kepala Batas, dekat sini.
Sehubungan itu, DAP mengarahkan sayap Pemudanya (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO itu.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata laporan polis dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.
Menurut Akmal menerusi hantaran Facebook (FB) sebelum ini menyatakan pertuduhan di mahkamah itu berkaitan kehadirannya dalam Himpunan Solidariti Bendera Pulau Pinang.
Katanya, pada 15 Ogos lalu beliau dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk diambil keterangan berhubung himpunan terbabit yang berakhir pada jam 2 pagi hari berikutnya.