Akmal Saleh pertahan UMNO, bidas kenyataan jelik Ramasamy

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa parti itu tidak akan berkompromi dalam soal mempertahankan Islam, hak orang Melayu dan institusi Raja-Raja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, sekiranya pendirian tegas UMNO dalam perkara tersebut menyebabkan sesetengah pihak enggan menyokong parti itu, mereka bebas berbuat demikian.

“Jika mempertahankan Islam dan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan menyebabkan kamu tidak mahu menyokong UMNO, silakan. Kami tidak kisah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dr Akmal turut membidas dakwaan Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), Dr P. Ramasamy yang menyatakan kononnya agenda agama dan kaum UMNO menjadi faktor penurunan sokongan terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC.

“Kami bukan seperti mereka yang hanya menunggang isu agama dan bangsa demi meraih undi.

“Bagi UMNO, tiada kompromi dalam hal berkaitan agama, bangsa dan Raja-raja Melayu, walau siapa pun rakan politik kami,” ujarnya.

Beliau menyeru semua pihak untuk kekal menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan sebelum mengharapkan penghormatan daripada UMNO.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dilapor berkata, partinya telah dilukai berulang kali sehingga perlu memikirkan hala tuju sendiri.

Sin Woon berkata, MCA sudah memberi masa dua tahun tetapi BN masih tidak menetapkan hala tuju yang jelas, satu keadaan yang mendorong MCA mempertimbangkan jalan yang ada di depan.

Ekoran itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa MCA tidak menyalahkan Barisan Nasional (BN) ekoran kemerosotan sokongan orang Cina terhadap parti itu sejak beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat